Social Icons

.

Pages

Saturday 12 January 2013

'Like' : Satu Muhasabah

Assalamualaikum.

Hari ni Facebook dah menjadi satu 'kefardhuan' bagi semua manusia. Janggal dan pelik andai ada yang menyatakan dia tidak mempunyai account FB, paling kurang pun pasti ada account walaupun hanya online seminggu sekali. Antara perkara yang menarik di ruangan maya tersebut adalah button 'like' yang diberikan hak sepenuhnya kepada pengguna laman sosial tersebut untuk menggunakannya.



Bagi aku, button tersebut dilihat sangat berpengaruh namun kadangkala tidak bermakna untuk digunakan. Masakan tidak, walaupun status yang dikeluarkan persis kumpulan ayat-ayat sampah bahkan luahan perasaan yang tak berkaitan, namun entah bagaimana mereka menilai 'hasil buangan' tersebut. Tidak kurang juga status carutan dan makian yang mempu mengumpul hampir ribuan 'like' dari pembaca status tersebut.


Mengharap Sesuatu Yang Tidak Perlu

Namun, sebagaimana biasa manusia sentiasa memerlukan perhatian. Mahu dirinya dilihat 'top', dilihat 'cerdik' walaupun hakikatnya kurang isi dikepala, tidak kurang juga ada yang mahu dilihat 'alim' walaupun mengaji agama takat Alif, Ba dan Ta. Apabila mahu berkongsi sesuatu dihalaman Facebook, antara perkara yang bermain dikepala adalah :

  • Agak-agak ada orang like tak status aku
  • Kalau aku post kang mesti ramai yang tak setuju
  • Ayat tak sedaplah, nanti orang tak puji

Mengapa penilaian mereka-mereka yang mempunyai kelemahan yang kita titik beratkan? Andai 'status' yang ingin dikongsikan itu benar dan bermanfaat, postkan sahaja tanpa memikirkan reaksi yang diterima. Sindrom ini juga berlaku kepada mereka yang 'beragama', bimbang akan di cerca, dikritik dan dipulaukan, lalu pantas diam seribu bahasa dari menyebarkan kebenaran.

Kerana Siapa Dan Mengapa.?

Hakikatnya kerana siapa status itu dikongsikan? Adakah dengan hanya berlisankan 'wahyu' di halaman sosial namun berperilakuan sebaliknya di luar, anda akan dilihat 'baik' disisi orang sekeliling? Dangkal! Hari ni manusia semakin bijak menilai, untuk mentuturkan bahasa yang dilihat indah sangat mudah namun untuk merealisasikannya di dunia relaiti, ramai yang tersadai.

Adakalanya button 'like' tersebut sangat bahaya. Riak dan takkabur mudah meresapi bagi mereka yang tidak mempunyai visi. Andai jumlah 'like' yang dikejar, maka itulah yang diperolehi. Maka tidak hairanlah ada yang sanggup mencipta, men'copy' sesuatu 'ayat' yang kononnya disandarkan kepada Nabi lalu dipostkan tanpa meniliti dahulu dari mana sumber itu diambil. Lalu diri berasa bangga kerana mendapat perhatian, dipuji kerana kononnya 'berdakwah' lantas dicop sebagai insan 'berilmu'. Perhatikan tujuanmu wahai saudara, kita hanyalah insan yang dicipta.

"Sesungguhnya, setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kerana apa yang dikehendaki."
(HR Bukhari dan Muslim)
Hati-Hati Dalam Berkongsi

Tidak kurang juga mereka-mereka yang berkongsi sesuatu hanya dipandu oleh desakan nafsu. Kesemua perkara yang dibaca, dilihat dan didengari, kesemunya mahu dikongsikan dalam misi untuk mengejar button 'like' tersebut. Penilaian 'agama' lansung dibuang entah kemana, yang penting apa yang ditulis, kelihatan 'syurga' dimata manusia.

Berkongsi sesuatu yang dilihat islamik sangat besar ganjarannya, namun andai yang islamik itu hanyalah sekadar rekaan, hanya dosa yang disediakan sebagai balasan.

Dari Abu hurairah radiallahu 'anhu,sesungguhnya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Cukuplah seseorang itu dikatakan sebagai pendusta ketika dia menyampaikan setiap apa yang dia dengarkan."
(HR.Muslim dan Abu Dawud)

Pantang ada sesuatu yang menarik untuk diberitakan, sesuatu yang sensasi untuk dicerita dan dikhabarkan, pantas ruangan sosial tersebut dijadikan tempat melampiaskan segala pengalaman.

Bekata baiklah ataupun diam!

Apabila Yang Jahil Menjadi Penilai.

Apabila kita berkongsi sesuatu, fikirkan dahulu mengenai kesan dan akibat dari status tersebut. Bayangkan andai kita post sesuatu yang meleset seperti sejarah sesuatu perkara, adab seseorang individu dan sebagainya, dan mereka yang membaca status tersebut pantas  menekan button 'like' sebagai tanda setuju dan mempercayainya, maka  siapa lagi yang akan dipertanggungjawabkan untuk menanggung semua dosa yang menyebabkan mereka tersasar dari kebenaran melainkan kita sendiri yang menjadi puncanya.

Berkongsilah perkara yang benar-benar perlu dan sahih terutama didalam hal berkaitan agama, agama ini milik Si Pencipta dan tidak layak untuk kita merubah dan menambah perkara yang sedia ada. Berhati-hatilah juga ketika memberikan 'comment' kerana disana juga ada insan  'jahil' yang membacanya. Beranilah untuk berkata 'aku tak tahu' berbanding mengeluarkan 'fatwa' sesuka hati tanpa disertakan bukti dan hujjah.


Agama Tidak Mementingkan Jumlah

Jangan pernah merasa gagal andai status yang kita kongsikan itu tidak mendapat perhatian dan tidak di'like' oleh orang yang membaca.  Agama tidak dinilai dengan jumlah orang yang bersetuju dengannya, tidak juga dinilai dengan berapa ramai yang menyukainya , namun cukuplah apa yang dikongsikan itu benar.  Pernah kadangkala aku melihat ada yang berbunyi:

'Nak dibanding status ko dengan status dia, status dia banyak dapat 'like' lagi'

'Ko memang tak boleh lawan dia la, dia sekali post dapt berpuluh 'like''

Untuk apa dikejar 'like' manusia andai kita gagal mendapat 'like' dari Allah dan Rasulnya.  Andai jumlah yang dijadikan sukatan dalam menilai sesuatu perkara, maka adakah layak Nabi Nuh diklasifikasikan sebagai Nabi yang gagal dalam dakwahnya kerana hanya mampu mempunyai pengikut yang boleh dibilang walaupun  berdakwah hampir 1000 tahun? Tidak bukan, jadi usah hairan dan runsing jika apa yang kita kongsikan tidak mendapat sambutan. Konsistenlah dalam menyampaikan kebaikan, kerana Yang Diatas juga sentiasa konsisten memberikan ganjaran atas perbuatan murni itu.


Tuhan Tahu Apa Yang Kita Mahu

Kesimpulannya, kepada tukang post, berfikirlah sebelum berkongsi. Guna hak berfikir sebelum hak untuk bersuara. Perbetulkan niat, kejarlah apa yang seharusnya dikejar, usah dipedulikan sanjungan manusia kerana penilaian manusia semata-mata dunia akhirat kemana. Dan kepada yang meng'like', perhatikan apa yang anda baca, perhalusi apa yang anda lihat, berfikirlah sebelum 'beriman' dengan sesuatu fakta. Button 'like' yang anda tekan tersebut sangat memberi kesan, sama ada menjadikan 'tukang post' semakin bersemangat menyampaikan kebenaran ataupun berterusan dalam keadaan takabbur kerana sentiasa mendapat perhatian. 'Like' lah perkara yang bermanfaat, dikhuatiri akan dipersoal dihari perhitungan kelak. 

'Jadikan Facebook sebagai aplikasi yang dikawal dan bukan yang mengawal'



0 comments:

Post a Comment