Social Icons

.

Pages

Saturday 24 November 2012

Antara Fakta Sains Dan Agama.


Assalamualaikum.

Salah satu subjek kegemaran aku di tempat pengajian kini adalah Pendidikan Islam(PI). Walaupun markah ujian dan penilaian bagi subjek tersebut tidak dimasukkan dialam nilai pointer bagi tiap-tiap semester, namun ilmu yang diperolehi dari kelas tersebut berupaya untuk dimasukkan didalam nilai 'pointer' di akhirat kelak. Tidak seperti kelas PI di kelas-kelas lain, metodologi yang digunakan oleh guru yang mengajar aku subjek tersebut sangat menarik. Beliau tidak menekankan kaedah 'nota', 'hafal' dan 'taqlid' namun lebih menekankan kepada kaedah 'fikir', 'hujjah' dan 'aplikasi'.

'Mengapa Allah haramkan babi untuk dimakan?' Ustazah tersebut bertanyakan soalan kepada kami.

'Sebab sains buktikan daging babi banyak kuman' jawab seorang pelajar.

'Sebab babi tak elok untuk sistem penghadaman' seorang lagi memberikan jawapan.

'Bagus, namun andai satu hari nanti sciencetist dapat 'melahirkan' babi yang bebas dari kuman melalui ujikaji, adakah babi halal dimakan? ' Ustazah itu kembali menyoal.

Tiada siapa yang menjawab, bahkan keadaan menjadi senyap seketika. Soalan 'perangkap' yang dilontarkan sebentar tadi sedang 'seronok' menanti reaksi mangsanya. Persoalannya sekarang, adakah babi diharamkan kerana 'kesan sampingannya' atau sebaliknya? . Kadangkala apabila diberi nikmat yang sangat berharga untuk mendalami dan memahami sains, ada segelintir manusia yang lupa nikmat untuk bersyukur bahkan menjerumuskan diri kelembah kufur.

'Kenapa macam ni pula? sains kata lain'

'Selagi sains tak buktikan, aku takkan amalkan'



Berapa banyak buku yang menerangkan hikmah-hikmah perintah Allah dari sudut penilaian sains. Hikmah sujud, rukuk, puasa dan sebagainya dikatakan dapat memberikan impak yang positif kepada kesihatan manusia. Ada benarnya fakta yang dikeluarkan, namun jika tiada satu fakta sains pun yang membuktikan ibadah-ibadah tersebut dapat menyihatkan badan, ibadah tersebut tetap wajib dilaksanakan. Bimbang nanti sampai suatu masa, manusia hanya akan melakukan sesuatu ibadah dan perkara jika hanya fakta sains selari dengan perintah tersebut.

Hakikatnya, fakta sains hanya akan diterima jika selari dengan sumber agama dan ia wajib ditolak jika sebaliknya. Sains memerlukan sumber agama untuk dijadikan rujukan dan bagi membuktikan kebenaran, namun kebenaran sumber agama tidak perlu dibuktikan melalui sains. Realitinya fakta agama sentiasa mendahului fakta sains.

Bukan Semua Perkara Benar Nabi Sebut

Pernah sekali aku berbual dengan seorang rakan mengenai kesihatan, tidak semena-mena terkeluar dari mulutnya:

'Buang air besar waktu pagi kan sihatkan badan, Nabi yang cakap'

Aku cuba untuk mencari kalau-kalau ada dalil dan nas yang berkait dengan apa yang didakwa, namun tidak ketemu hingga kini. Namun jika benar ia wujud, dipersila untuk datangkan dalil tersebut. Tersangatlah bahaya untuk mengaitkan nama Nabi didalam sesuatu kisah dan riwayat, kerana apa-apa yang disandarkan kepada baginda sudah diangkat menjadi sumber agama. Ancaman yang diberikan oleh baginda kepada sesiap yang sewenang-wenangnya menggunakan namanya sangatlah berat.

Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.

Perlu difahami bahawa bukanlah semua perkara yang benar disebutkan oleh Nabi, namun semua perkara yang Nabi sebut adalah benar.Sebagai contoh, kita sering dengar bahawa manusia akan lebih mudah mengingat sesuatu perkara jika ia diilustrasikan didalam pelbagai jenis warna, manusia akan lebih tenang jika melihat warna hijau, warna sekian-sekian melambangkan sekian-sekian, namun adakah boleh kita mendakwa kesemua fakta tersebut terpancul dari mulut Nabi..?

Begitu juga dengan kenyataan mengenai buang air besar tersebut, boleh jadi ia memang menyihatkan badan dari sudut saintifiknya, namun adalah sesuatu yang dangkal untuk mendakwa ia bersangkut paut dengan Junjungan kita.

Kesimpulannya, perlu dibezakan fakta sains dan fakta agama. Fakta sains boleh ditolak dan diterima, boleh berubah dan boleh jadi ia kekal, boleh ditambah juga boleh dibuang. Berbezanya ia dengan fakta agama yakni sumber didalam agama kita, ianya sudah lengkap, wajib diterima haram ditolak, kekal hingga ke hari penghujung dan ia telah sempurna setelah mana kewafatan Nabi tanpa perlu buang apatah lagi ditambah.
Belajarlah sains dengan niat mendalami agama, jangan belajar sains untuk mempertikaikan agama..!






0 comments:

Post a Comment