Social Icons

.

Pages

Featured Posts

Tuesday 25 June 2013

iBNU SiNA : Sahabat Selamanya


Assalamualaikum

Masih aku ingat, hari tu hari anugerah untuk pelajar-pelajar cemerlang negeri Pahang. Aku pergi ke majlis tersebut dengan seorang rakan menaiki keretanya. Memandangkan majlis tersebut berakhir pada lewat dari waktu yang sepatutnya, jadi guru-guru kami tidak memberi keizinan untuk pulang terus ke rumah kerana risaukan bahaya yang menanti dan kebetulan, ada kekosongan di hotel tempat mereka menginap. Jadi kami ambil keputusan untuk tidur semalaman di sana. Sampai sahaja di hotel tersebut, jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam.

'Eh, mana barang aku acap?'

'Barang benda? Ko jangan main-main.'

'Dompet, hp, jam. Aku letak dalam songkok tadi'

'Habis songkoknya mana?

'Tu la takda tu, arrgh! Aku rasa tercicir la kat dewan tadi la. Jom ar pergi tengok balik'

'Okey-okey'

Kami pun bergerak ke dewan tersebut walaupun kedua-duanya keletihan. Sampai saja di dewan tersebut, keadaan sangat lengang. Tiada orang untuk bertanya dan dengan keadaannya yang gelap, jadi menyukarkan aku untuk mencari barang tersebut. Tiba-tiba aku teringat, sebelum kami pergi ke hotel apabila selesai majlis tadi, aku letak songkok aku diatas kereta dia atau dalam bahasa mudahnya kami bergerak ke hotel dalam keadaan songkok aku masih diatas kereta. -.-"

Mahu tidak mahu, kena terima hakikat barang-barang aku yang ada dalam songkok tersebut boleh terpelanting dimana-mana. Dompet yang berisi duit belanja serta duit yang aku dapat dari anugerah tersebut (hang nak sangat letak sampul duit tu dalam dompet sapa suruh), telefon bimbit yang ayah aku hadiahkan, dan jam tangan yang paling aku sayang mungkin tidak menjadi milik aku lagi. Mahu saja aku tinggalkan tempat tersebut namun dia nasihatkan supaya ikhtiar untuk cari dahulu di kawasan sekeliling. Tempat yang aku jangka kemungkinan paling tinggi untuk barang tersebut jatuh adalah di selekoh untuk keluar dari dewan tu. Dia parking kereta di tepi jalan dan aku pun memulakan pencarian. Alhamdulillah aku ditakdirkan menemui songkok tersebut tapi malangnya songkok tu dah leper.

'Aku rase barang ko tu dah kene curi kot sebab sini laluan mat motor'

'Mungkin gak, sebab songkok ada lagi barang dah takda'

Hampir berputus asa untuk meneruskan pencarian, aku mengajak dia untuk pulang ke hotel. Tapi sebelum tu terdetik dihati aku untuk check buat kali yang terakhir. Alhamdulillah sekali lagi aku dapat menemui jam tangan aku walaupun cermin dah pecah. Mungkin kena lenyek sebagaimana songkok tersebut, namun telefon bimbit dan dompet masih belum ditemui. Kami pun ambil keputusan untuk pulang ke hotel.


Masih tidak dibaiki hingga hari ini.


Pagi keesokannya, kami bersiap untuk pulang dan mengambil sarapan terlebih dahulu.

'Acap, jom pergi tengok selekoh semalam tu. Mana tau boleh jumpa barang aku lagi'

'Boleh je, dah bagi tahu mak ayah ko ke belum'

'Betul jugak, aku call dieorang dulu la nanti'

Mak suruh buat laporan polis sebab boleh jadi itu kes kecurian dan aku tahu polis takkan ambil tahu kes aku kalau dieorang tahu kisah sebenar. (Orang letak HP, dompet dalam poket, hang pi letak dalam songkok) Laporan polis tetap kena buat sebab kad pengenalan aku pun dah hilang. Kalau nak buat baru tanpa alasan munasabah, tak pasal-pasal kena bayar. Sebelum pergi balai polis, kami pergi dulu ke selekoh semalam. Memang takda rezeki aku untuk jumpa dua barang tersebut dan aku rasa sememangnya ia dicuri. Laporan polis pun dibuat dan kami pulang selepas selesai semua urusan. (Nasib baik polis tak suruh cerita macam mana boleh kena curi)


Hilang Harta, Kenal Sahabat.

Sengaja aku coretkan peristiwa ini, walaupun dah lama berlalu tapi masih aku ingat sehingga ke hari ini. Dengannya aku dapat mengenali siapa sahabat dan bernilainya sebuah persahabatan. Ramai orang menyanjungi, menghargai dan sentiasa bersama dengan kita diwaktu kita senang, namun dikala susah tidak ramai yang mendekati. Aku tahu rakan aku pada malam itu keletihan, namun dia tetap menghulurkan bantuan. Semua permintaan aku dia tunaikan, bahkan dia turut mencari sama barang aku yang hilang tersebut. Sehingga ke hari ini, dia telah banyak memberikan bantuan pada aku dan sepanjang aku belajar di matrik, sudah dua kali dia menghantar aku pulang dan mengambil aku dari sana.
"Sebaik-baik manusia diantaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain"- Bukhari

 
Alhamdulillah, Allah mempermudahkan jalan sahabat aku tersebut pada hari ini. Perjalanan dia sebagai penuntut ilmu sangat cantik dan tersusun. Tidak ramai yang menceburi bidang kejuruteraan dengan berbekalkan 30 juzuk Al-Quran di ingatannya dan itulah kelebihan yang dia perolehi. Barakallahulak.


Dalam Diam Ada Yang Membantu

Memandangkan hp aku pun hilang dalam kejadian tersebut, aku terpaksa buat sim card baru dan semua nombor rakan yang aku simpan sejak sekian lama hilang begitu saja. Cuma, ada satu kejadian yang buat aku terkejut selepas aku aktifkan semula nombor tersebut. Tiba-tiba ada satu mesej aku terima dari nombor yang aku tak kenal (satu nombor pun aku tak hafal sebelum hp tu hilang melainkan nombor keluarga je). Mesej tersebut berbunyi nasihat yang sangat baik dan apa yang mengejutkan ialah mesej itu ditujukan kepada orang yang curi hp aku. Memang aku ada ceritakan kepada beberapa rakan aku mengenai kes kecurian tersebut ketika aku berada di hotel sebelum aku pulang lagi.

Aku ambil keputusan untuk simpan dulu mesej tu sebab aku nak tahu siapa yang hantar mesej tersebut. Lepas aku dah ambil semula semua nombor telefon rakan-rakan aku di sekolah, ternyata mesej tersebut dari seorang rakan kelasku. Namun aku tidak menanyakan kepada beliau mengenai mesej tersebut dan aku tak ceritakan kepada sesiapa pun. Aku terkejut sebab dia bukanlah antara orang yang paling rapat dengan aku dan dia antara orang yang senyap dalam kelas.

Kesimpulan yang aku dapat dari kejadian ni, tak semestinya orang yang rapat dengan kita saja yang akan bantu kita dikala kita susah, namun ada sesetengah insan lebih mengambil berat dan cakna mengenai keadaan kita. Jadi selepas kejadian tu, aku cuba untuk membalas jasa kedua-dua rakan aku ini dengan merapatkan diri dan belajar sesuatu yang berharga dari mereka.



Moga Allah memberkati kalian.
Terima Kasih Tuhan.

Aku selayaknya hanya mampu bersyukur kerana dikurnikan rakan-rakan yang sangat baik dan memahami terutamanya yang sekelas dengan aku. Boleh dikatakan semuanya layak aku gelarkan sebagai sahabat kerana mereka mampu buat aku gembira, mampu membimbing aku dan berupaya membuatkan aku menangis. Sebenarnya semuanya ada keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri yang tidak ada pada aku, dan kerana itu kami saling melengkapi. Tujuan aku menceritakan peristiwa diatas adalah untuk perkongsian saja dan tidak bermakna mereka yang tidak diceritakan itu berbeza kedudukannya. Antara graduasi Ibnu Sina :

1)Irfan   - di Mesir, bakal Doktor.
2)Acap  - asasi UIAM, bakal Engineer.
3)Emy   - persediaan ke Mesir, bakal Ustaz?
4)Wafi  - persediaan ke Jordan @ Madinah, bakal Ustaz?
5)Haziq - UITM, budak Sains Sukan.
6)Mey - UITM, bakal Pharmasist mungkin.
7)Ijan - UITM, bakal Doktor.
8)Usamah - Mesir, bakal Doktor.


Barakallahulakum.


Moga kalian dan aku berjaya dengan karier hidup masing-masing dan berjaya di 'pengakhiran' nanti. Moga persahabatan kita berkekalan. Dan kepada seorang sahabat terbaik aku yang sudah berada di alam yang berbeza, doa aku tidak pernah dan tidak akan putus. Rindu tidak akan berkurangan, sayang tidak akan menipis dan kenangan tidak akan luput. :')




Sunday 9 June 2013

Alhamdulillah : Result

Assalamualaikum

Keputusan peperiksaan semester program matrikulasi (PSPM II) telah diumumkan. Tiada apa yang aku boleh ucapkan selain melahirkan rasa syukur yang tidak berbelah bagi kepadaNya Ar-Razak. Moga-moga rezeki dan sedikit nikmat yang diberikan ini tidak melalaikan bahkan menjadi satu titik permulaan untuk mencapai kejayaan yang mendatang. Inshaallah.


Tidak sempurna tetapi bermakna 


Terima Kasih :)

#Terima kasih kepada ibu dan ayah. Perkara yang dapat menghilangkan duka dan luka dalam diri aku adalah apabila melihat mereka berdua tersenyum dan gembira.

#Terima kasih juga kepada adik beradik. Kenangkan waktu kita serba kekurangan dahulu, hanya memiliki apa yang sekadar mampu. Buktikan ramainya jumlah kita bukan satu bebanan kepada orang tua seperti apa yang dikata mereka. ;)

#Terima kasih kepada para pensyarah di matrikulasi dan kesemua guru yang pernah memberi tunjuk ajar. Ramai manusia yang pandai mengajar, namun tidak ramai yang berupaya mendidik dan itulah kelebihan kalian.

#Terima kasih kepada semua kawan-kawan. Orang yang terdekat dan berpengaruh disisi aku adalah mereka, kalian 'penjual minyak wangi' yang terbaik.

#Terima kasih kepada semua yang mengenali dan dikenali.






Friday 10 May 2013

Ada Apa Dengan Matrikulasi?

Assalamualaikum.

Bukan mudah untuk aku buat keputusan untuk meninggalkan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia). Masakan tidak, belum pun apa-apa, kami sudah di 'brain wash' bahkan diugut untuk tidak berhenti ditengah jalan. Antara ayat-ayat yang masih bermain ditelinga aku pada hari ini.

'Siapa-siapa yang keluar dari sini, saya takkan terima rayuan untuk masuk kembali'

'Jangan keluar, laluan ni laluan yang terbaik. Kamu akan menyesal di kemudian hari'

Tapi entah kenapa, jiwa aku tiada di sana. Walaupun dikelilingi dengan rakan yang baik, kenalan baru yang sangat peramah, namun ia tidak cukup untuk menyekat hasrat aku untuk berundur. Akhirnya setelah aku berkoreksi hampir dua minggu, aku nekad untuk berhenti. Daripada aku berada disana dalam keadaan yang terpaksa, biarlah aku keluar untuk mencari alternatif yang lain. Persoalan mengapa aku keluar biarlah aku dan Dia sahaja yang tahu, dan mudah-mudahan keputusan aku itu benar sehingga hari ini.


Akhirnya Dia Menghulurkan Bantuan.

Setelah beberapa hari aku 'bebas' dari sebarang 'didikan' dan hanya menghabiskan masa di rumah, tiba-tiba sampai satu mesej dari rakan baikku.

'Woi, dapat tak matrik? Aku check dah, dapat kat Gambang la'

'Keluar result dah ke? Eh aku isi tak aritu?'

Ya, itulah hakikatnya. Aku langsung tak ambil tahu mengenai Matrik dan aku isi secara online dulu pun sebab ramai rakan yang isi. Sejujurnya memang aku tak memasang impian langsung untuk menyambung pelajaran di sini. Bagi student matrik, mereka akan faham. Belum pun kami masuk ke matrik, kami sudah dimomokkan dengan pelbagai cerita dan berita, andai disukat hanya 1/5 sahaja yang enak dan selebihnya dipenuhi dengan keburukan. Akhirnya aku pun check di laman web Matrikulasi dan hasilnya positive.

Namun tidak semudah itu, aku tetap tak hiraukan tawaran tersebut kerana keputusan UPU belum diumumkan bahkan aku 'menentang' mereka yang memilih untuk memasuki matrik. Tunggu punya tunggu akhirnya result UPU pun keluar. Daripada lapan pilihan yang aku isi, alhamdulillah aku dapat pilihan yang kelapan. (Terima kasih). Memandangkan ia pilihan yang kelapan, pasti ada sebab mengapa ia diletakkan di pilihan yang terakhir. Jadi keadaan semakin runcing, mahu tidak mahu aku terpaksa pilih matrik juga. Itu sahaja jalan yang ada, itu sahaja jalan yang relevan dan itu sahaja jalan yang mungkin sesuai untuk aku. Untuk tidak mempersiakan jalan yang aku pilih, aku terlebih dahulu buat persedian 'rohani' yang rapi. Hampir tiap malam aku usha blog bekas graduasi-graduasi matrik, membaca pengalaman mereka dan 'kesudahan' mereka di sana.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui". - al-Baqarah ayat 216 
Ayat ini merubah segalanya. Aku ambil keputusan untuk masuk matrik dan menilai dengan mata hati sendiri sama ada semua yang mereka gambarkan itu benar ataupun tidak. Aku tahu risiko yang akan aku hadapi, kerana dalam matrikulasi hanya ada 'berjaya' atau 'lelong' walaupun ketika itu masih dalam keadaan ragu dan buntu.


 
Permulaan Kehidupan Sebagai Robot

Aku mendaftar pada 28 Mei di kolej tersebut. Seperti biasa ada minggu orentasi yang begitu membeban dan memualkan. Mungkin ada sebab dan hikmahnya, dan aku mula nampak kesannya selepas minggu orentasi itu berakhir. Hari pertama pergi ke kelas, aku dah mula rasa tidak selesa. Mana tidaknya ada yang muka macam ayah orang, ada muka yang terlebih matang dan kebanyakannya muka-muka genius. Terasa diri begitu kerdil bila memulakan perbualan.

'Saya dari Sekolah Menengah Seri ________'

'Dulu saya sekolah MRSM'

'SPM dulu dapat 9A, satu B'

Wow, kebanyakan pelajar dalam kelas tu mempunyai latar belakang yang menakjubkan. Tapi perkara tersebut tidak begitu menggoyahkan semangat aku. Aku tak pernah bersaing dengan orang untuk mencapai result yang baik sebab persaingan dengan diri sendiri lebih mendatangkan kepuasan. Hampir seminggu mengikuti kelas dan kuliah di sana, aku mendapat konklusi yang mudah mengenai kehidupan harian kami adalah ROBOT. Ya, aktiviti harian kami pada hari-hari disana adalah sama sahaja.

Pergi kelas pukul 8 sehingga pukul 5 petang (kadang-kadang kelas mula pukul 9 dan berakhir pukul 4 petang. Ada 'gap' wajib pukul 1-2 petang untuk makan dan solat zohor). Inilah perkara sama yang kami lakukan pada hari Isnin hingga Khamis (Jumaat habis pukul 12). Aku merasakan kehidupan disana begitu dikawal dan sangat tidak menyenangkan. Aku mengimpikan suasana belajar yang menyeronokkan, namun meleset apabila terpaksa melalui perkara sedemikian. Pernah terlintas dalam hati untuk keluar, namun aku gagahkan diri dan perkara pertama yang aku fikirkan adalah kedua orang tuaku. Untuk tidak mengecewakan mereka buat kali yang kedua, aku pilih untuk kekal dan bertahan.

"Keredhaan Alllah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa" - Riwayat Tarmizi
 
Tekanan Yang Semakin Memuncak

Sistem pengajian di matrik sudah disusun dan diatur mengikut masa yang tertentu. Setiap syllibus harus diselesaikan pengajiannya mengikut tempoh yang sudah ditetapkan. Jadi kami terpaksa mengikut rentak 'kawalan' tersebut. Boleh dikatakan pembelajaran di sana sangat laju dan terkejar-kejar. Andai ada topik yang tidak dihabiskan mengikut dateline, akan ada kelas tambahan pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan pada topik yang lain. Banyak mana topik di matrik (1 tahun)? Aku kongsikan secara ringkas dan bandingkanlah sendiri dengan jumlah topik yang kita belajar waktu SPM (2 tahun) dahulu.

Fizik: 28 topik
Kimia: 20 topik
Math: 20 topik
Sains Komputer : 8 topik.

Nampak banyak bukan? Bukan 'nampak' sahaja, tapi sememangnya banyak. Perkara inilah yang membuatkan aku tertekan. Aku dibesarkan dalam suasana pelajaran yang bercampur (agama-akademik), jadi untuk menukar 'jalan' kearah subjek akademik secara keseluruhannya sangat memerlukan masa. Mujur ada senior yang selalu aku jadikan tempat rujukan dan kaunter pertanyaan. Beliau lulusan akaun, sangat berjaya dalam pengajiannya di matrik ini dan yang paling penting, beliau banyak memberi sokongan dan kata semangat.

'Rilex, mula-mula memang ko rase tertekan. Aku dulu macam tu jugak, tapi inilah masanya untuk balas dendam result SPM ko'

Penganjuran seminar dan extra class yang pelbagai telah mencuri masa cuti aku di hari Sabtu dan Ahad. Aku membanyangkan bila masuk matrik, aku boleh pulang ke rumah pada hujung minggu jika tiada aktiviti, boleh keluar outing jika free tapi semuanya indah khabar dari rupa. Waktu balik bermalam kami juga sudah disusun atur supaya tidak bertindih dengan aktiviti kolej. Aku bertanya kepada senior tersebut sama ada di zamannya juga sistem seperti ini digunakan. Jawapan yang dia bagi buat aku diam seketika.

'Ala, sampai bila nak duduk bawah ketiak mak. Aku duduk matrik dulu pun outing sekali je. Tu pun waktu semester 2'



Masuk Dalam Keadaan Kosong.

Sebenarnya result SPM tidak begitu mempengaruhi prestasi di matrik. Result yang baik boleh jadi ujian dan kelebihan bagi seseorang, terpulanglah bagaiamana kita menguruskan diri. Andai ia menjadi motivasi untuk mencapai result yang lebih baik, sangat mudah untuk skor di matrik namun andai dengan result tersebut kita merasa selesa, bersedialah untuk tersungkur di kemudian hari. Ramai sahaja rakan aku disana yang memperolehi 7A, 8A bahkan straigth A, namun mereka-mereka inilah yang kerap naik turun mahkamah disiplin. Ponteng kelas itu sudah menjadi kebiasaan kerana bagi mereka, mereka boleh belajar sendiri tanpa hadir ke kelas dan kuliah.

Keselesaan mereka akhirnya memakan diri. Bila keluar result semester pertama, result mereka jauh ketinggalan dengan result mereka yang kurang berjaya ketika SPM dahulu. Semuanya bergantung kepada motivasi dan kemahuan diri. Dan bagi aku sendiri, aku masuk matrik dalam keadaan kosong. Semua yang aku belajar di sekolah menengah dahulu kebanyakannya sudah luput ditelan zaman.

'Ha ko ingat tak kita pernah belajar benda ni form 5 dulu, sama je konsep dia sebenarnya'

'Ye dop? aku rase macam tak pernah belajar je'

'Kecik-kecik taknak belajar, dah besar menyusahkan orang. Teruk ko ni'

Begitulah situasi yang biasa aku alami. Sampai hari aku merasakan perkara yang aku belajar hanya lekat ketika itu sahaja, andai ditanya apa yang aku belajar di semester 1 dahulu, boleh jadi 50 peratus aku sudah lupa. Belajar dalam keadaan yang tergesa-gesa sangat menyeksakan bagi aku yang dilahirkan dalam keadaan 'normal'. Lainlah bagi mereka yang cepat 'pick up', dengar sekali sahaja didalam kuliah, mereka boleh ingat sampai hari ini. Cuma kadangkala golongan yang diberi kelebihan seperti ini, mereka tidak memanfaatkannya sebaik mungkin. Kesenangan dan kelebihan yang diberi akhirnya dimanipulasi dengan cara yang salah.

"Dan ingatlah juga tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih." [Surah Ibrahim: 7]
 

Semester Dua Lebih Teratur

Alhamdulillah result semester 1 adalah nikmat dan ujian terbesar dariNya. Aku tak pernah dapat 'straight A' dalam mana-mana ujian sebelum ini, sama ada Pasti, sekolah rendah dan sekolah menengah dan kerana itulah aku anggap ia satu nikmat yang diselaputi ujian. Tiada sebab untuk berbangga dan meninggi diri, kerana semua sedia maklum mengenai permainan 'gred' didalam peperiksaan. Semester dua kehidupan aku lebih terurus. Mungkin kerana dapat sedikit 'motivasi' daripada result yang diperolehi. Semangat aku juga disuntik oleh rakan-rakan di sekolah menengah dahulu. Mereka menghulurkan bantuan kepada aku dalam banyak perkara dan hanya tuhan sahaja yang mampu membalasnya.

Ukhuwah semakin melebarkan sayapnya. Kalau dahulu aku hanya bergaul dengan roomate dan classmate, namun semester 2 aku berpeluang untuk kenal dengan rakan-rakan yang berada di modul lain. Sokongan kawan sangat penting dalam kehidupan di matrik. Andai hidup seorang di medan pertempuran ini, mudah sangat untuk goyah dan tumpas. Alhamdulillah aku dikurniakan classmate yang 'cinta' kepada surau. Boleh dikatakan tiap waktu mereka ada disana untuk berjemaah. Akhlak mereka sesuai dengan cara mereka berinteraksi dengan agama. Dengan mereka aku belajar untuk bertahan, walaupun kadangkala mereka juga merasakan apa yang aku rasakan. Tekanan yang tidak berkesudahan. Tapi kami nekad untuk habiskan baki perjuangan yang tinggal. Mungkin kerana kami sudah lali dengan kesibukan yang terlampau di semester 1, jadi perkara yang luar biasa sudah jadi kebiasaan di semester 2. Bahkan aku merasakan waktu sangat pantas di semester 2, mungkin kerana bait-bait keseronokan itu sudah mula timbul.


2m2s11a

Manfaatkan Dan Jadilah Yang Bermanfaat.

Salah satu cara untuk survive di matrik adalah manfaatkan mereka-mereka yang genius. Alhamdulillah, Allah beri bantuan kepada aku untuk belajar dengan mereka yang sangat hampir dengan aku.

'Eh, you bilik no brape? Blok berape?' soalan aku kepada classmate Cina diminggu pertama.

'Saya blok B1 la, B1 T1 22.'

Dengar je jawapan dia, aku rasa pelik. Rupanya bilik dia betul-betul bersebelahan dengan bilik aku. Selepas dari hari tu, pantang ada soalan dan topik yang aku tak faham, aku terus pergi tanya dia. Dan satu kelebihan yang dia ada adalah dia tak pernah sombong, dia akan ajar step by step dan dia takkan malu mengaku kalau dia tak tahu sesetengah soalan dan topik. Rakan melayu yang lain juga tak lokek berkongsi ilmu terutama classmate. Alhamdulillah, Allah menempatkan aku dalam situasi yang sangat baik untuk belajar, rakan yang memahami, guru yang cemerlang dan suasana yang sangat kondusif.

Kita sendiri pun jangan kedekut untuk berkongsi ilmu. Berkongsi lah apa yang kita tahu dan yang paling penting, jangan segan untuk mengatakan 'aku tak tahu' kerana dengan cara itu lebih menampakkan kejujuran berbanding pura-pura tahu yang hanya akan menonjolkan kebodohan.

Tidak wajarlah bagi orang yang bodoh, berdiam diri atas kebodohannya. Dan tidak wajarlah bagi orang yang berilmu berdiam diri atas ilmunya.”-Riwayat al-Tabrani
 


Kamus Bergerak..~


Syukur Dalam Pengharapan

Sehingga hari ini aku tidak pernah setuju dan menyukai sistem pembelajaran di matrik, namun aku bersyukur ditempatkan disana untuk merasa sedikit ujian dalam hidup ini. Buat pertama kalinya aku berada dalam 'mood' sepenuhnya untuk belajar. (Hidup kena pandai, kadang-kadang kalau tension, aku akan cari bilik-bilik yang ada PES..hehe). Nak seronok boleh, tapi kena pandai check and balance. Fikirkan balik matlamat dan dengan sendirinya kita pandai mengurus masa. Namun untuk berbicara mengenai cara belajar dan sebagainya, aku bukanlah orang yang layak untuk bersuara. Kini hanya tinggal waktu untuk bertawakkal dan berserah kerana result untuk semester 2 belum dikeluarkan. Walaupun final exam baru ini sangat sukar dan tidak dijangka berbentuk sedemikian, segala keputusan akan diterima dengan hati yang terbuka. Kesimpulan dari perjalanan aku ini ialah.
 
وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِين َ - al-Imran (54)   
 
Tempat cari ketenangan.


Sampai hari ni tak paham kenapa warna berbeza -.-



Gedung Ilmu



Penyuburan Demokrasi~


Wide View 1

Wide View 2