Social Icons

.

Pages

Sunday 10 June 2012

Kopiah Mana?

Assalamualaikum.

Pagi itu guru Pendidikan Islam masuk ke kelas, seperti mana biasa di awal sesi pengajian akan ada sesi taaruf memandangkan semuanya adalah pelajar-pelajar baru dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Seperti mana biasa juga seorang demi seorang akan berdiri untuk memperkenalkan serba sedikit tentang diri mereka. Bila tiba giliran aku, aku pun tanpa sebarang idea berdiri dengan hanya memperkenalkan nama, asal dari mana dan lepasan sekolah menengah mana.

Pada awalnya aku ingin menyembunyikan sekolah lama ku, namun setelah merenung untuk kali ke-2, sampai bila aku mahu bersembunyi. Dengan selamba aku mengatakan 'Sekolah lama saya Sekolah Menengah Agama ...............' .

'La.. ko sekolah agama ke'

'Ustaz rupanya ko ni'

Aku dah agak dah perkara sebegini yang akan timbul. Selesai sahaja kelas tersebut, ada individu yang bertanya kepada aku, 'kenapa ko tak pakai kopiah macam budak sekolah agama lain'. Soalan sebegini juga aku sudah jangkakan akan ada yang bertanya. Tidak mahu memeningkan kepala untuk menjawab secara ilmiah, aku hanya membalas 'tiada guna kalau pakai kopiah tapi tak jaga syariat lain'.






Ianya Satu Sunnah.


Benar, aku tidak nafikan sesiapa yang memakai kopiah maka individu tersebut sudah berjaya mengamalkan satu sunnah peninggalan Baginda. Namun, aku agak terkilan apabila hanya meletakkan 'budak sekolah agama' sinonim dengan 'pemakaian kopiah'. Sunnah Nabi adalah syumul bukan? Jadi tidak perlulah timbul dialog yang sebegini :

'Ko sekolah agama ae, patutlah pakai kopiah'

'Budak sekolah agama bolehlah pakai kopiah, kita ni sekolah biasa. Seganlah'

Apabila sunnah dieksklusifkan untuk kelompok yang mendalami agama sahaja, maka yang jauh dari agama sudah pasti akan lebih tersasar dan meleset dari landasan yang sebenar. Sunnah berhak diikuti oleh mana-mana individu sekalipun. Sebagaimana Islam itu sesuai untuk semua lapisan dan latar, begitulah sunnah perlu diadaptasikan.




Mengapa Kopiah?

Pernah juga aku terfikir, mengapa 'aliran agama' sangat sering dikaitkan dengan pemakaian kopiah. Sedangkan banyak lagi perkara yang terkandung dalam syariat Islam. Contoh mudah, anda pernah dengar perbualan begini ?:

'Ko pakai jubah ni ko budak sekolah agama ke?'

'Ko kan sekolah agama, kenapa tak solat sunat lepas Isyak'

'Tak pernah nampak pun ko mengaji, ko sekolah agama kan?'

Sangat jarang bukan? bahkan mungkin tak pernah mendengarnya. Ya, inilah yang bermain di ruangan minda aku. Mengapa kopiah, mengapa tidak sunnah lain. Kalau dahulu aku fikir lagi meleset tafsiran mereka apabila mengaitkan kopiah dengan pertubuhan politik tertentu dan songkok untuk pertubuhan yang lainnya. Satu lagi bentuk pengeksklusifan dalam agama! Namun, tafsiran tersebut sudah pudar sedikit demi sedkit. Alhamdulillah.




Berhikmahlah Dalam Dakwah.


Sebenarnya tidak perlu dijadikan isu sama ada seseorang itu mahu memakai kopiah ataupun tidak. Selagi mana ia berada didalam lingkaran hukum 'sunat', maka tidak ada perkara yang akan menjadikan ia 'wajib'.  Bahkan kita dapat lihat ramai Ustaz-ustaz pada hari ini yang sudah mula berdakwah tanpa mengenakan kopiah, jubah, serban dan sebagainya.  Yang perlu didahulukan dalam dakwah adalah kebijaksanaan dan bukanlah kaedah berpakaian.

Untuk mendekati golongan yang 'rock', 'punk', 'skinhead' dan sebagainya imej pendakwah perlulah kelihatan lebih sesuai dan kena dengan keadaan dan situasinya. Bayangkan jika seorang pendakwah secara tiba-tiba pergi berjumpa dengan 'golongan-golongan' ini dengan memakai 'uniform' dakwah dengan serba lengkap lalu memberi teguran, kemungkinan yang akan berlaku hanya dua perkara.

1) Golongan tersebut pergi meninggalkan pendakwah tersebut ;

2) atau pendakwah itu pergi dengan membawa kesan lebam di anggota badan.

Tidak dapat tidak, hikmah itu perlu diletakkan diatas berbanding protokol dalam berpakaian. Kekuatan ilmu sudah memadai untuk kita mengajak kearah kebaikan.



Terserah Untuk Memilih.


Jadi terpulanglah kepada mana-mana individu untuk memilih imej berkopiah ataupun sebaliknya. Dan kepada yang bersedia memakainya, berhati-hatilah kerana setiap perbuatan anda akan diperhatikan dan andai sedikit sahaja kesilapan yang anda lakukan, orang akan bijak memanipulasikan cara pemakaian anda. Bagi yang tidak bersedia untuk mengenakan imej berkopiah, maka bersangka baiklah kita dengan mereka yang memakainya, tidak perlu menjustifikasikan mereka sebagai riak dan sebagainya, dan berdoalah supaya kita dapat mengikuti sunnah-sunnah Nabi yang lainnya.

Teringat pula kisah yang berlaku beberapa hari lepas, sedang aku duduk selepas solat Maghrib di surau, tiba-tiba masuk ke dalam surau 2 individu (seorang memakai kopiah dan seorang lagi tidak memakainya), maka berlakulah perbualan antara mereka.

A: Kita solat jemaah sekali la.

B: Okey, tapi ko la jadi imam.

A: Aku boleh je, tapi aku tak pakai kopiahlah. Boleh ke?


Hmm. Sebagai penutup kata, aku cuma nak sebut agama tidak perlu diklasifikasikan kepada golongan tertentu dan lepasan institusi tertentu dan perlu dibezakan antara perkara 'sunat' dan 'wajib'. Yang diwajibkan didalam Islam mengenai tatacara pemakaian ialah 'menutup aurat', maka inilah perkara yang perlu dan wajar diteliti dahulu sebelum yang lainnya. Agama dan tahap keimanan tidak dinilai melalui pemakaian 'penutup kepala', namun agama dinilai dengan 'isi kandungan kepala' yakni ILMU.













0 comments:

Post a Comment