Social Icons

.

Pages

Sunday 29 July 2012

'Malaysia vs Arsenal'- Itulah Realitinya

Assalamualaikum.

Baru-baru ni aku berpeluang menyaksikan secara langsung didepan mata perlawanan antara Malaysia menentang Arsenal sempena lawatan kelab gergasi Inggeris tersebut ke negara-negara Asia. Namun, seperti dijangka, aku hanya menyaksikannya melalui kaca televisyen (juga secara langsung dan menggunakan mata bukan?). Selesai sahaja tarawikh, berpusu-pusu pelajar-pelajar disini hadir ke kafeteria untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Aku tidak mahu mengulas corak permainan mana-mana pasukan namun, sepanjang perlawanan itu berlangsung, ada sesuatu 'sifat' yang sangat menarik perhatian aku.




Di Awal Perlawanan.

Seperti biasa apalabila wisel dibunyikan, akan ada lebih kurang 30-40 orang pengulas'profesional tambahan' bagi perlawanan tersebut walau hakikatnya ada dua sahaja suara yang berkumandang di kaca televisyen.

'Aku jamin Malaysia kena tibai kaw-kaw malam ni'

'Dengan QPR pun Kelantan dah kene bantai, ada hati nak test Arsenal'

'Kalau first half kene 3-0, second half aku tak tengok dah'

Begitulah yang berlaku, belum pun para pemain di atas padang mempamerkan prestasi namun mulut yang berada di luar padang sudah memberi konklusi yang hanya menggunakan neraca persepsi.

*Realitinya : Kadang kala kita sangat cepat dalam meletakkan prasangka kepada mana-mana individu sebelum beliau melakukan sebarang tindakan. Tidak salah jika sangkaan baik yang diletakkan namun akan jadi masalah kalau prasangka buruk yang di lontarkan. Belum pun sebarang perkara itu dilaksanakan namun diawal-awal lagi kita sudah cop sebagai 'gagal' dan 'salah'.

'Aku tak yakin dengan dia ni, dia kan takde pengalaman'

'Silap besarlah lantik dia jadi pemimpin, dia belajar bukan tinggi mana'


Kita Mendahului.


Waktu menunjukkan hampir tamat separuh masa pertama, dengan tiba-tibanya muncul jaringan dari pasukan 'lemah' Malaysia hasil rembatan jauh salah seorang pemainnya berjaya menewaskan penjaga gol Arsenal. Dengan tiba-tibanya juga ketika itu suara-suara 'pengulas profesional' yang mengkritik hebat diawal permainan itu tadi menjerit dengan 'histerianya' untuk meraikan jaringan tersebut.

'Gol...!! Gila shoot dari jauh tu'

'Wow.. seriesla ni Malaysia yang main'

'Aku dah cakap dah memang Malaysia boleh menang'

'Malaysia memang dah meningkat gila la, main macam Barcelona dah aku tengok'

Fuh.. Drastik, sangat drastik. Tidak sampai 45 minit, pendirian mereka boleh berubah. Yang mana pada awalnya di katakan kaca, namun dengan segeranya ia diiktiraf sebagai permata. Kalau pada mulanya dianggap hina, namun dengan pantasnya berubah menjadi bangga.

*Realitinya : Apabila kita kuat, akan ramai yang mahu memanfaatkan dan tidak kurang juga yang akan memanipulasikan. Kita akan disanjung, dilemparkan pujian yang bertubi-tubi. Diikiraf sebagai yang terbaik walau hakikatnya hanyalah satu 'kebetulan'. Daripada dahulunya kita tidak dihargai, namun dengan sedikit kelebihan dan kekuatan yang kita ada, dengan directnya akan ada yang memberi penghargaan. Sifirnya sangat mudah bagi golongan-golongan ini  iaitu 'ada kekuatan ada sokongan'. Namun, ia tidak lama kerada sokongan dan dorongan diberi dan dibina atas dasar kelebihan yang dimiliki, jika tiada, bersedialah untuk dihina kembali.


Segalanya Berubah

Jam mununjukkan perlawanan berbaki 10 minit dan jaringan masih memihak pasukan Malaysia. Ketika itu semua penyokong memberikan pujian-pujian  kepada Malaysia dan keji-kejian kepada pasukan Arsenal.

'Lepas ini Malaysia la main EPL'

'Malaysia pulak buat tour lawan kelab Inggeris nanti'

'Harap je pemain star, lawan pemain kampung pun dah 'berpeluh''

Sangat janggal ketika itu, aku dapat menyaksikan perubahan 360 darjah sikap penyokong berbanding pada sepak mula perlawanan tersebut. Yang buruk semuanya menjadi baik, yang lemah diiktiraf sebagai kuat.
Namun... dalam perlawanan hanya berbaki 10 minit itu, keajaiban berlaku dengan Arsenal berjaya menjaringkan 2 gol untuk menewaskan pasukan Malaysia 2-1.

'Aku dah agak dah, Malaysia last minute memang macam hampeh main'

'Kalau macam ni la nak masuk Suzuki Cup, lupakanlah'

'Main macam orang kampung, pemain pertahanan tak pandai langsung jaga kawalan'

Pada waktu jaringan dilakukan Arsenal, aku boleh kira bilangan penyokong yang tinggal. Meja yang sebelumnya ada tuan, kini hanya tinggal cawan. 'Pengulas profesional' dan 'Skuad Pemuji' hilangkan diri tanpa meninggalkan sebarang kesan. Fuh, sekali lagi aku menyaksikan perubahan drastik dimalam itu. Yang dikatakan berubah menjadi baik tadi, diubah kembali menjadi buruk. Yang diiktiraf 'kuat' tadi, dengan pantasnya bertukar menjadi 'lemah' kembali.

*Realitinya : Saat kita diatas, akan ramai yang berada dibelakang kita untuk memberi sokongan. Namun saat kita dibawah, akan ramai yang berada diatas untuk memijak. Waktu kita didalam saat  yang sukar, boleh dibilang bilangan yang datang menghulurkan bantuan, namun saat kita senang tidak terhitung bilangan yang datang meminta pertolongan. Sesetengah manusia hanya akan menghargai kita diwaktu kita gagah, namun dikala kita lemah, hanya caci maki yang diberi sebagai tanda 'penghargaan'


Konklusinya, berhati-hatilah diwaktu kita kuat dan berwaspadalah disaat kita lemah. Bezakan pihak yang menyayangi dan pihak yang memanipulasi. Tidak semua individu yang berada disisi kita disaat kita mewah akan kekal berada disisi kita disaat kita susah. Kasih sayang itu tidak dibina diatas landasan kelebihan, tetapi dibina atas dasar kepercayaan. Jadilah yang membantu apabila berada diatas, dan jangan runsing andai tidak dibantu ketika berada dibawah kerana Dia akan membantu orang yang membantuNya.





0 comments:

Post a Comment