Social Icons

.

Pages

Friday 10 May 2013

Ada Apa Dengan Matrikulasi?

Assalamualaikum.

Bukan mudah untuk aku buat keputusan untuk meninggalkan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia). Masakan tidak, belum pun apa-apa, kami sudah di 'brain wash' bahkan diugut untuk tidak berhenti ditengah jalan. Antara ayat-ayat yang masih bermain ditelinga aku pada hari ini.

'Siapa-siapa yang keluar dari sini, saya takkan terima rayuan untuk masuk kembali'

'Jangan keluar, laluan ni laluan yang terbaik. Kamu akan menyesal di kemudian hari'

Tapi entah kenapa, jiwa aku tiada di sana. Walaupun dikelilingi dengan rakan yang baik, kenalan baru yang sangat peramah, namun ia tidak cukup untuk menyekat hasrat aku untuk berundur. Akhirnya setelah aku berkoreksi hampir dua minggu, aku nekad untuk berhenti. Daripada aku berada disana dalam keadaan yang terpaksa, biarlah aku keluar untuk mencari alternatif yang lain. Persoalan mengapa aku keluar biarlah aku dan Dia sahaja yang tahu, dan mudah-mudahan keputusan aku itu benar sehingga hari ini.


Akhirnya Dia Menghulurkan Bantuan.

Setelah beberapa hari aku 'bebas' dari sebarang 'didikan' dan hanya menghabiskan masa di rumah, tiba-tiba sampai satu mesej dari rakan baikku.

'Woi, dapat tak matrik? Aku check dah, dapat kat Gambang la'

'Keluar result dah ke? Eh aku isi tak aritu?'

Ya, itulah hakikatnya. Aku langsung tak ambil tahu mengenai Matrik dan aku isi secara online dulu pun sebab ramai rakan yang isi. Sejujurnya memang aku tak memasang impian langsung untuk menyambung pelajaran di sini. Bagi student matrik, mereka akan faham. Belum pun kami masuk ke matrik, kami sudah dimomokkan dengan pelbagai cerita dan berita, andai disukat hanya 1/5 sahaja yang enak dan selebihnya dipenuhi dengan keburukan. Akhirnya aku pun check di laman web Matrikulasi dan hasilnya positive.

Namun tidak semudah itu, aku tetap tak hiraukan tawaran tersebut kerana keputusan UPU belum diumumkan bahkan aku 'menentang' mereka yang memilih untuk memasuki matrik. Tunggu punya tunggu akhirnya result UPU pun keluar. Daripada lapan pilihan yang aku isi, alhamdulillah aku dapat pilihan yang kelapan. (Terima kasih). Memandangkan ia pilihan yang kelapan, pasti ada sebab mengapa ia diletakkan di pilihan yang terakhir. Jadi keadaan semakin runcing, mahu tidak mahu aku terpaksa pilih matrik juga. Itu sahaja jalan yang ada, itu sahaja jalan yang relevan dan itu sahaja jalan yang mungkin sesuai untuk aku. Untuk tidak mempersiakan jalan yang aku pilih, aku terlebih dahulu buat persedian 'rohani' yang rapi. Hampir tiap malam aku usha blog bekas graduasi-graduasi matrik, membaca pengalaman mereka dan 'kesudahan' mereka di sana.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui". - al-Baqarah ayat 216 
Ayat ini merubah segalanya. Aku ambil keputusan untuk masuk matrik dan menilai dengan mata hati sendiri sama ada semua yang mereka gambarkan itu benar ataupun tidak. Aku tahu risiko yang akan aku hadapi, kerana dalam matrikulasi hanya ada 'berjaya' atau 'lelong' walaupun ketika itu masih dalam keadaan ragu dan buntu.


 
Permulaan Kehidupan Sebagai Robot

Aku mendaftar pada 28 Mei di kolej tersebut. Seperti biasa ada minggu orentasi yang begitu membeban dan memualkan. Mungkin ada sebab dan hikmahnya, dan aku mula nampak kesannya selepas minggu orentasi itu berakhir. Hari pertama pergi ke kelas, aku dah mula rasa tidak selesa. Mana tidaknya ada yang muka macam ayah orang, ada muka yang terlebih matang dan kebanyakannya muka-muka genius. Terasa diri begitu kerdil bila memulakan perbualan.

'Saya dari Sekolah Menengah Seri ________'

'Dulu saya sekolah MRSM'

'SPM dulu dapat 9A, satu B'

Wow, kebanyakan pelajar dalam kelas tu mempunyai latar belakang yang menakjubkan. Tapi perkara tersebut tidak begitu menggoyahkan semangat aku. Aku tak pernah bersaing dengan orang untuk mencapai result yang baik sebab persaingan dengan diri sendiri lebih mendatangkan kepuasan. Hampir seminggu mengikuti kelas dan kuliah di sana, aku mendapat konklusi yang mudah mengenai kehidupan harian kami adalah ROBOT. Ya, aktiviti harian kami pada hari-hari disana adalah sama sahaja.

Pergi kelas pukul 8 sehingga pukul 5 petang (kadang-kadang kelas mula pukul 9 dan berakhir pukul 4 petang. Ada 'gap' wajib pukul 1-2 petang untuk makan dan solat zohor). Inilah perkara sama yang kami lakukan pada hari Isnin hingga Khamis (Jumaat habis pukul 12). Aku merasakan kehidupan disana begitu dikawal dan sangat tidak menyenangkan. Aku mengimpikan suasana belajar yang menyeronokkan, namun meleset apabila terpaksa melalui perkara sedemikian. Pernah terlintas dalam hati untuk keluar, namun aku gagahkan diri dan perkara pertama yang aku fikirkan adalah kedua orang tuaku. Untuk tidak mengecewakan mereka buat kali yang kedua, aku pilih untuk kekal dan bertahan.

"Keredhaan Alllah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa" - Riwayat Tarmizi
 
Tekanan Yang Semakin Memuncak

Sistem pengajian di matrik sudah disusun dan diatur mengikut masa yang tertentu. Setiap syllibus harus diselesaikan pengajiannya mengikut tempoh yang sudah ditetapkan. Jadi kami terpaksa mengikut rentak 'kawalan' tersebut. Boleh dikatakan pembelajaran di sana sangat laju dan terkejar-kejar. Andai ada topik yang tidak dihabiskan mengikut dateline, akan ada kelas tambahan pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan pada topik yang lain. Banyak mana topik di matrik (1 tahun)? Aku kongsikan secara ringkas dan bandingkanlah sendiri dengan jumlah topik yang kita belajar waktu SPM (2 tahun) dahulu.

Fizik: 28 topik
Kimia: 20 topik
Math: 20 topik
Sains Komputer : 8 topik.

Nampak banyak bukan? Bukan 'nampak' sahaja, tapi sememangnya banyak. Perkara inilah yang membuatkan aku tertekan. Aku dibesarkan dalam suasana pelajaran yang bercampur (agama-akademik), jadi untuk menukar 'jalan' kearah subjek akademik secara keseluruhannya sangat memerlukan masa. Mujur ada senior yang selalu aku jadikan tempat rujukan dan kaunter pertanyaan. Beliau lulusan akaun, sangat berjaya dalam pengajiannya di matrik ini dan yang paling penting, beliau banyak memberi sokongan dan kata semangat.

'Rilex, mula-mula memang ko rase tertekan. Aku dulu macam tu jugak, tapi inilah masanya untuk balas dendam result SPM ko'

Penganjuran seminar dan extra class yang pelbagai telah mencuri masa cuti aku di hari Sabtu dan Ahad. Aku membanyangkan bila masuk matrik, aku boleh pulang ke rumah pada hujung minggu jika tiada aktiviti, boleh keluar outing jika free tapi semuanya indah khabar dari rupa. Waktu balik bermalam kami juga sudah disusun atur supaya tidak bertindih dengan aktiviti kolej. Aku bertanya kepada senior tersebut sama ada di zamannya juga sistem seperti ini digunakan. Jawapan yang dia bagi buat aku diam seketika.

'Ala, sampai bila nak duduk bawah ketiak mak. Aku duduk matrik dulu pun outing sekali je. Tu pun waktu semester 2'



Masuk Dalam Keadaan Kosong.

Sebenarnya result SPM tidak begitu mempengaruhi prestasi di matrik. Result yang baik boleh jadi ujian dan kelebihan bagi seseorang, terpulanglah bagaiamana kita menguruskan diri. Andai ia menjadi motivasi untuk mencapai result yang lebih baik, sangat mudah untuk skor di matrik namun andai dengan result tersebut kita merasa selesa, bersedialah untuk tersungkur di kemudian hari. Ramai sahaja rakan aku disana yang memperolehi 7A, 8A bahkan straigth A, namun mereka-mereka inilah yang kerap naik turun mahkamah disiplin. Ponteng kelas itu sudah menjadi kebiasaan kerana bagi mereka, mereka boleh belajar sendiri tanpa hadir ke kelas dan kuliah.

Keselesaan mereka akhirnya memakan diri. Bila keluar result semester pertama, result mereka jauh ketinggalan dengan result mereka yang kurang berjaya ketika SPM dahulu. Semuanya bergantung kepada motivasi dan kemahuan diri. Dan bagi aku sendiri, aku masuk matrik dalam keadaan kosong. Semua yang aku belajar di sekolah menengah dahulu kebanyakannya sudah luput ditelan zaman.

'Ha ko ingat tak kita pernah belajar benda ni form 5 dulu, sama je konsep dia sebenarnya'

'Ye dop? aku rase macam tak pernah belajar je'

'Kecik-kecik taknak belajar, dah besar menyusahkan orang. Teruk ko ni'

Begitulah situasi yang biasa aku alami. Sampai hari aku merasakan perkara yang aku belajar hanya lekat ketika itu sahaja, andai ditanya apa yang aku belajar di semester 1 dahulu, boleh jadi 50 peratus aku sudah lupa. Belajar dalam keadaan yang tergesa-gesa sangat menyeksakan bagi aku yang dilahirkan dalam keadaan 'normal'. Lainlah bagi mereka yang cepat 'pick up', dengar sekali sahaja didalam kuliah, mereka boleh ingat sampai hari ini. Cuma kadangkala golongan yang diberi kelebihan seperti ini, mereka tidak memanfaatkannya sebaik mungkin. Kesenangan dan kelebihan yang diberi akhirnya dimanipulasi dengan cara yang salah.

"Dan ingatlah juga tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih." [Surah Ibrahim: 7]
 

Semester Dua Lebih Teratur

Alhamdulillah result semester 1 adalah nikmat dan ujian terbesar dariNya. Aku tak pernah dapat 'straight A' dalam mana-mana ujian sebelum ini, sama ada Pasti, sekolah rendah dan sekolah menengah dan kerana itulah aku anggap ia satu nikmat yang diselaputi ujian. Tiada sebab untuk berbangga dan meninggi diri, kerana semua sedia maklum mengenai permainan 'gred' didalam peperiksaan. Semester dua kehidupan aku lebih terurus. Mungkin kerana dapat sedikit 'motivasi' daripada result yang diperolehi. Semangat aku juga disuntik oleh rakan-rakan di sekolah menengah dahulu. Mereka menghulurkan bantuan kepada aku dalam banyak perkara dan hanya tuhan sahaja yang mampu membalasnya.

Ukhuwah semakin melebarkan sayapnya. Kalau dahulu aku hanya bergaul dengan roomate dan classmate, namun semester 2 aku berpeluang untuk kenal dengan rakan-rakan yang berada di modul lain. Sokongan kawan sangat penting dalam kehidupan di matrik. Andai hidup seorang di medan pertempuran ini, mudah sangat untuk goyah dan tumpas. Alhamdulillah aku dikurniakan classmate yang 'cinta' kepada surau. Boleh dikatakan tiap waktu mereka ada disana untuk berjemaah. Akhlak mereka sesuai dengan cara mereka berinteraksi dengan agama. Dengan mereka aku belajar untuk bertahan, walaupun kadangkala mereka juga merasakan apa yang aku rasakan. Tekanan yang tidak berkesudahan. Tapi kami nekad untuk habiskan baki perjuangan yang tinggal. Mungkin kerana kami sudah lali dengan kesibukan yang terlampau di semester 1, jadi perkara yang luar biasa sudah jadi kebiasaan di semester 2. Bahkan aku merasakan waktu sangat pantas di semester 2, mungkin kerana bait-bait keseronokan itu sudah mula timbul.


2m2s11a

Manfaatkan Dan Jadilah Yang Bermanfaat.

Salah satu cara untuk survive di matrik adalah manfaatkan mereka-mereka yang genius. Alhamdulillah, Allah beri bantuan kepada aku untuk belajar dengan mereka yang sangat hampir dengan aku.

'Eh, you bilik no brape? Blok berape?' soalan aku kepada classmate Cina diminggu pertama.

'Saya blok B1 la, B1 T1 22.'

Dengar je jawapan dia, aku rasa pelik. Rupanya bilik dia betul-betul bersebelahan dengan bilik aku. Selepas dari hari tu, pantang ada soalan dan topik yang aku tak faham, aku terus pergi tanya dia. Dan satu kelebihan yang dia ada adalah dia tak pernah sombong, dia akan ajar step by step dan dia takkan malu mengaku kalau dia tak tahu sesetengah soalan dan topik. Rakan melayu yang lain juga tak lokek berkongsi ilmu terutama classmate. Alhamdulillah, Allah menempatkan aku dalam situasi yang sangat baik untuk belajar, rakan yang memahami, guru yang cemerlang dan suasana yang sangat kondusif.

Kita sendiri pun jangan kedekut untuk berkongsi ilmu. Berkongsi lah apa yang kita tahu dan yang paling penting, jangan segan untuk mengatakan 'aku tak tahu' kerana dengan cara itu lebih menampakkan kejujuran berbanding pura-pura tahu yang hanya akan menonjolkan kebodohan.

Tidak wajarlah bagi orang yang bodoh, berdiam diri atas kebodohannya. Dan tidak wajarlah bagi orang yang berilmu berdiam diri atas ilmunya.”-Riwayat al-Tabrani
 


Kamus Bergerak..~


Syukur Dalam Pengharapan

Sehingga hari ini aku tidak pernah setuju dan menyukai sistem pembelajaran di matrik, namun aku bersyukur ditempatkan disana untuk merasa sedikit ujian dalam hidup ini. Buat pertama kalinya aku berada dalam 'mood' sepenuhnya untuk belajar. (Hidup kena pandai, kadang-kadang kalau tension, aku akan cari bilik-bilik yang ada PES..hehe). Nak seronok boleh, tapi kena pandai check and balance. Fikirkan balik matlamat dan dengan sendirinya kita pandai mengurus masa. Namun untuk berbicara mengenai cara belajar dan sebagainya, aku bukanlah orang yang layak untuk bersuara. Kini hanya tinggal waktu untuk bertawakkal dan berserah kerana result untuk semester 2 belum dikeluarkan. Walaupun final exam baru ini sangat sukar dan tidak dijangka berbentuk sedemikian, segala keputusan akan diterima dengan hati yang terbuka. Kesimpulan dari perjalanan aku ini ialah.
 
وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِين َ - al-Imran (54)   
 
Tempat cari ketenangan.


Sampai hari ni tak paham kenapa warna berbeza -.-



Gedung Ilmu



Penyuburan Demokrasi~


Wide View 1

Wide View 2


5 comments:

  1. hahahahahahaha...lu mmg gempak ahh bro

    ReplyDelete
  2. Syukran senior, dah sebulan duk kmph asyik stress jer dan rase nk nangis tk kire mase (kadang2 trkejut jgk duk sini sbb bercampur plbagai jenis ragam2 manusia). Alhamdulillah, Lepas bace blog ni dah rasa semangat sikit.

    ReplyDelete
  3. camane senior deal ngan homesick???saya hari hari nangis dok ingt nak plg jerr..niat nak belajar ada tapi nun jauh melayang bila teringtkn rumah..huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. fikir yang duduk situ setahun je. Target pointer tinggi, Inshaallah kat luar tu byk jalan dan rezeki sedang menunggu.

      Delete
  4. Setuju dgn pendpt Senior... Xsuka cara pembelajaran kat sini... Xsama dengan apa yg kita bayangkan...

    ReplyDelete