Social Icons

.

Pages

Tuesday 5 February 2013

Masih Ada Sinar

Assalamualaikum.

Pada bulan yang lepas, di tempat aku belajar telah diadakan karnival 'Jom Masuk U' yang berlangsung selama 3 hari. Sebagaimana biasa, beberapa Universiti telah mengambil peluang mengadakan sesi taklimat dan ceramah berkenaan kelebihan universiti mereka, program yang ditawarkan dan syarat kelayakan bagi program yang disediakan. Masing-masing berlumba dalam usaha untuk menarik seberapa ramai yang mungkin pelajar-pelajar yang berpotensi untuk diserap kedalam universiti mereka.



Terasingnya 'Budak Arab'

Dalam banyak-banyak universiti yang aku usha, aku paling tertarik dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Bukan kerana nama 'islam' yang digunakan, namun kerana 'kelebihan' yang dimiliki oleh universiti tersebut. Keistimewaan USIM dari universiti-universiti lain adalah Bahasa Arab nya. Lemparkan angan-angan anda kedalam longkang untuk memasuki universiti tersebut andai tiada perkataan 'Bahasa Arab Tinggi' di dalam sijil SPM.

Petang itu diadakan taklimat dari universiti tersebut, namun ia sedikit mengecewakan aku. Sebelum universiti tersebut mengadakan taklimat, sebuah universiti 'melayu' terlebih dahulu mengadakan taklimat. Begitu ramai yang hadir, hampir penuh sebuah dewan yang mampu memuatkan 6 buah gelanggang badminton itu. Namun bila tiba masa untuk USIM mengadakan taklimat, aku merasa seakan-akan taklimat tersebut tidak memerlukan ruangan 'sebuah dewan' untuk menampung kapasiti pelajar, namun memadai hanya  'sebuah kelas'.

Bukan kerana ramai yang tidak berminat, bukan juga kerana kelemahan universiti tersebut, namun kerana keistimewaan yang dimiliki mereka. Aku tidak hairan dengan jumlah yang sedikit itu kerna disini, mempunyai kelebihan walaupun sedikit untuk menguasai B.Arab sudah cukup untuk menjadikan anda orang yang sangat istimewa. Wakil dari USIM memberi konklusi yang sangat menarik dari taklimat yang ringkas tersebut, katanya 'kami tidak memerlukan jumlah yang ramai, cukuplah peluang ini dibuka untuk mereka yang mendalami agama'.

Ya, aku sedikit gembira dengan apa yang diperkatakan itu namun jauh disudut hati, aku agak kecewa dengan jumlah mereka yang hadir. Tampak jelas kurangnya produk 'agama' di institusi ini. Masakan tidak mereka-mereka yang hadir ke institusi ini kebanyakannya memasang impian untuk menjadi seorang Doktor,  Jurutera, Akauntan, Akitek dan lain-lain yang mana bukanlah pilihan kerjaya utama bagi mereka yang bersekolah agama (kebiasaannya). Namun sampai bila kerjaya profesional ini dipenuhi oleh mereka-mereka yang pro English, sampai masanya mereka yang menguasai B.Arab untuk kedepan dan bertindak.



Fantastic Legacy Youth

Selang beberapa minggu lepas itu pula dianjurkan karnival Islam yang diberi nama  Fantastic Legacy Youth (FLY). Namun karnival ini bagi aku antara karnival yang kurang ditonjolkan pada awalnya. Kebiasaannya karnival-karnival yang dijalankan akan dikempenkan oleh para pensyarah, akan ada iklan yang betaburan di merata tempat namun karnival Islam ini hanya dikempenkan di tempat-tempat yang utama.  Aku sendiri terkejut apabila bertanyakan kepada rakan setelah karnival itu selesai 'eh, ko tak join langsung ke aktiviti yang dieorang buat', jawapan yang aku terima 'aktiviti? ada program ke minggu ni'. -.-

Karnival ini merupakan karnival pertama yang dianjurkan 100% mengenengahkan Islam sebagai 'main point' nya. Ia dikelola oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Ahli Jawatankuasa Surau dan beberapa AJK program sukarela. Entah kenapa, keagresifan aku di sekolah menengah ter'kubur' di sini tanpa sebarang jawatan yang dipegang dalam karnival tersebut bahkan mana-mana aktiviti, namun aku berbangga melihat bekas rakan  seperjuagan ku dahulu yang mana tidak menonjol di sekolah menengah telah menunjukkan 'taring' mereka dengan menjadi 'orang utama' bagi karnival itu. Aku respek usaha kalian untuk mewujudkan persekitaran agama di sini.

Antara aktiviti yang dijalankan..

Biah Solehah Yang Terindah.

Petang sebelum program itu, diadakan sedikit gotong royong untuk membersihkan dewan. Kebetulan aku dan seorang rakan baru selesai solat asar di Surau, kami diajak untuk sama-sama mencurahkan tenaga bagi menyiapkan dewan yang bakal digunakan tidak sampai 3 jam dari waktu itu. Pada mulanya aku menganggarkan kehadiran mereka yang membantu sangat sedikit dan keadaan pasti suram, namun sebaliknya yang berlaku. Pada ketika itulah aku merasakan detik pertama aku berada di institusi tersebut yang mana aku merasakan keadaan yang sangat indah dan suasana yang sangat baik. Pelajar lelakinya yang selama ini aku tak jangka mereka melibatkan diri dengan karnival sebegini akhirnya turun mencurahkan bakti.  Masakan tidak, mereka yang berperwatakan ganas dengan muka 'pecah rumah' diluar, namun terpendam dalam hati mereka keinginan untuk melihat benih-benih Islam subur disini.

Begitu juga dengan muslimatnya, itu jugalah kali pertama aku merasa seakan sedang berada di 'sekolah agama' kembali.  Dewan itu dihiasi dengan wanita yang hanya berpakaian mengikut lunas agama. Si tudung labuh itulah yang mengangkat meja, si tudung labuh itulah yang menghias pentas dan si tudung labuh itulah yang melakukan semua kerja.  Di hari-hari kelas ataupun kuliah, mereka yang memakai pakaian sedemikan kelihatan sangat ganjil dari majoritinya, namun di saat itu mereka yang berpakaian sebaliknya pula kelihatan minoriti. Lantas seorang kawan membisikkan sesuatu 'kalau nak cari jodoh, inilah waktu yang paling sesuai'.

Mereka Akhirnya Menonjol

Sepanjang karnival itu berlangsung, pelbagai aktiviti yang dijalankan. Dan sepanjang karnival itu jugalah 'muka-muka' yang tidak dijangka keluar menonjolkan diri menunjukkan kebolehan mereka, sama ada dalam tilawah Al-Quran, tulisan Khat, pertandingan nasyid dan sebagainya. Satu perkara yang terlintas difikiran aku, 'dimanakah kalian selama ini'. Setelah sekian lama aku berada disini, merasakan kurangnya mereka yang cenderung kepada aktiviti seperti ini, rupa-rupa nya mereka selama ini  hanya menunggu masa untuk diberikan peluang dan ruang, dan apabila ruang telah tersedia, apabila peluang telah terbuka, dengan segeranya mereka keluar untuk berjuang!


Tilawah

 Khat

Persepsi Yang Meleset

Selesai sahaja karnival tersebut, aku merasakan persepsi aku sangat meleset. Hanya kerana kurangnya mereka yang bersekolah agama disini lantas aku menghukum suasana agama tidak mungkin wujud. Hanya kerana kurangnya mereka yang mahir berbahasa arab, aku terus membuat konklusi bahawa 'bahasa syurga' itu dipinggirkan. Hakikatnya aku terpaksa akur bahawa sinar agama semakin menunjukkan cahayanya di sini. Daripada tidak menutup kepala kepada bertudung, daripada bertudung kepada 'tudung' yang sepatutnya, Alhamdulillah.

Perubahan yang tidak ketara namun sangat baik untuk permulaannya. Bahkan ada beberapa individu yang mula menunjukkan minat untuk mendalami Bahasa Arab. Ada yang meminta supaya diberikan sehari satu perkataan arab kepadanya, ada yang sudah mula membuat jadual untuk mengkhatamkan Al-Quran dalam masa yang ditarget, bilangan saf disurau sudah bertambah bilangannya dan beberapa perkara positif yang lain.  Bagi aku program-program berbentuk kerohanian ini seharusnya dilipat gandakan. Lihat sahaja mereka yang non-muslim, pantang ada sambutan perayaan dan kebudayaan mereka, sebulan sebelum hari majlisnya mereka sudah mengadakan latihan dan persediaan. Andai kita lebih bersedia dan berstrategi, tak mustahil 'sinar' ini akan berterusan bercahaya kerana kita adalah majoriti. Kita bantu agama Allah, Dia bantu urusan kita,

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” Surah Muhammad ayat 7."


0 comments:

Post a Comment