Social Icons

.

Pages

Monday 23 April 2012

Dakwah : Ilmu Atau Semangat?

Assalamualaikum.

"Daripada Abdullah Bin Amr, sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda : Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat."

Bila dengar sahaja hadith ini, pasti ramai dari kalangan kita merasakan tanggungjawab sebagai seorang pendakwah itu adalah wajib bukan..? Semuanya akan berusaha untuk menjadi seorang pendakwah kepada rakan-rakan mereka. Seluruh platform yang ada dimanfaatkan untuk menyahut seruan dakwah ini. Ada yang menge'post' status-status agama di ruangan Facebook, ada yang menyebarkan mesej-mesej dakwah melalui telefon bimbit dan sebagainya.

Bagi mereka yang masih bersekolah pula, ada yang akan menubuhkan persatuan-persatuan agama seperti 'Badan Dakwah', 'Badan Kerohanian' , 'Badan Ibadah' dan lain-lain. Kesemuanya berlumba-lumba untuk mengikuti tuntutan Nabi S.A.W yang mulia ini. Mereka yang berkebolehan dalam 'membangkitkan semangat' pula akan menggunakan kaedah yang lainnya seperti berdakwah melalui kem-kem, seminar-seminar dan motivasi-motivasi.



Perkara ini sangat baik jika dilihat dari perspektif SEMANGAT. Ya, kesemuanya begitu bersemangat untuk memperjuangkan agama. 'Kami mahu jadi pendakwah!', 'Kami adalah da'ie'. Ini antara slogan-slogan yang digunakan untuk membangkitkan semangat mereka dalam menyebarkan benih-benih agama. Namun, kadangkala kita cukup dangkal dalam bertindak. Saya tidak menyatakan bahawa segala usaha yang mereka lakukan adalah batil, bukan begitu. Cuma adakalanya kita bersemangat dalam sesuatu 'tuntutan', tetapi kita melupakan 'tuntutan' yang lebih penting disebalik tuntutan tersebut. Sebagaimana potongan hadith diatas, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa hadith tersebut ada sambungannya.

"Daripada Abdullah Bin Amr, sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda : Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat, dan tidak mengapa mengambila (sesuatu) daripada Bani Israel, (akan tetapi) sesiapa yang berdusta atas nama ku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya daripada neraka" - Riwayat Al-Bukhari, Tirmidhi, Ahmad dan Ibn Hibban

Ya, memang benar Nabi menyuruh kita menyampaikan sesuatu daripada baginda walaupun hanya sepotong 'ayat', namun andai 'ayat' tersebut bukan daripada baginda, tersedialah tempatnya didalam neraka sebagaimana dinyatakan dalam hadith tersebut. Mengapa begitu keras amaran yang diberikan oleh Nabi didalam hadith ini..? Sebagaimana kita tahu, neraka adalah balasan yang paling teruk dan hina di akhirat kelak. Tidak lain tidak bukan, jelas baginda mahu menjaga kesahihan sumber agama yang akan disebarkan oleh umatnya di akhir zaman kelak. Bayangkan lah andai sumber yang sampai pada kita hari ini bukan daripada Nabi, adakah amalan yang kita praktikkan akan diterima oleh Allah..?

Jadi bagaimana kita mahu pastikan sesuatu perkara itu benar-benar daripada Nabi..? Mahu atau tidak mahu, pencarian ILMU itu tetap perlu diutamakan. Mungkin ada yang akan mempertikaikan, "kalau nak cari ilmu,sampai bila-bila pun ilmu takkan cukup, jadi bila nak berdakwahnya..??". Sebenarnya bukan soal yang mana perlu didahulukan, tetapi yang mana perlu diutamakan. Untuk apa kita berdakwah dan menyebarkan apa yang kita tidak tahu. Dakwah yang kita sampaikan juga perlulah selari dan sesuai dengan tahap ilmu yang kita miliki. Jangan bercakap seolah-olah ilmu setinggi awan, hakikatnya hanya serendah rumput ditaman.




Jadi, berhati-hati dengan apa yang kita sebarkan. Tidak salah untuk menyeru manusia kepada kebaikan, namun akan jadi salah jika kita meyeru menggunakan seruan kebatilan. Andai dakwah hanya bersandarkan semangat, akan mudahlah timbul perasaan penat. Namun jika dakwah atas dasar ilmu, takkan timbul sikap jemu. Dengan ilmu, semangat yang ada dalam diri akan terpelihara. Tetapi belum tentu ilmu akan terjaga dengan semangat yang tinggi. Konklusinya, utamakan yang mana yang perlu diutamakan, jangan tersilap dalam percaturan, dibimbangi bercanggah dengan apa yang diperintah Tuhan.






0 comments:

Post a Comment